Seawal 6 pagi, aku, Haini, Zulia, Ina, Fakhzan, Liew, Azlan, Suthagar, Ikram, Fairus dan Syafiq, berkumpul di lobi untuk bergerak ke Bangalore. Tujuannya? Membeli belah, serta mencuci mata. Sememangnya aku tidak bercadang hendak membeli belah lagi. Tapi, memang terniat hendak membeli sehelai jeans. Lagipun, inilah sahaja cara untuk aku memberi 'reward' pada diri sendiri setelah berusaha demi Java minggu lalu. Perjalanan 3 jam dengan bas ekspress sememangnya selesa. Tidaklah perlu kami menaiki keretapi di negara ini, yang sememangnya terkenal dalam setiap filem Hindi yang biasa kutonton. Tiba di Bangalore, kami menaiki auto untuk ke kawasan membeli belah yang terkenal di Bangalore ni.
Kedai pertama yang kami masuki, tentunya McDonald. Maklum sahaja, makanan segera inilah yang kami rindui sejak menjejak kaki ke India. Bukan tak rindukan masakan tempatan Malaysia, namun cuma McDonald, KFC dan yang seangkatan dengannya sahaja yang tercapai di sini. Manakan hendak kucari nasi lemak, dan sebagainya? Walaupun begitu, menu di McD di sini agak berbeza. Memandangkan majoriti rakyat di sini tidak makan daging lembu, BigMac yang dihidang juga ditukar namanya kepada 'Maharaja Chicken Burger'. Enak juga, walaupun masih terasa keIndiaannya (rempah ratus).
Sesudah makan, kononnya hendak terus membeli belah. Namun kerana sedikit salah faham, kami terpaksa memulakan acara membeli belah selepas 2 jam. Penat juga berjalan sepanjang Commercial Street yang sememangnya seperti Chow Kit Road. Sempat juga aku membeli sehelai jeans, t-shirt serta sepasang kasut. Aku sudah malas hendak membeli sari kerana sudah kubeli semasa aku keluar ke Mysore.Namun sempat juga aku menyabar 2 helai kurta untuk ayahku.Kami berjalan dari satu kedai ke satu kedai, mencari harga yang terbaik. Sememangnya pencarian kami berbaloi kerana aku dapat juga mencari harga yang agak berbaloi. Namun, Haini berjaya mendapat harga yang lebih murah dariku. Tak mengapa lah.. Aku dah pun membelinya.
Yang menjadi kisahnya, apabila kami semua tiba di stesen bas. Bas sudah jalan!! Apa lagi, kami semua terpaksa melangut selama 3 jam di stesen bas demi bas seterusnya. Mulalah keluar cadangan untuk bermalam di sana, Namun, itu agak mustahil kerana kami memang datang sehelai sepinggang. Kami gagahkan juga menunggu sampai akhirnya bas tiba. Sistem mendapatkan tiket bas juga agak kelakar. Namun, tak mengapalah..
Kali ni, bas mengambil masa lebih lama. Kami tiba di Mysore semula jam 2 pagi. Dengan 4 buah auto, kami kembali ke Infosys. Alhamdulillah.. Namun, akibat perjalanan kami yang tidak terancang begini, aku terpaksa mengqadha solatku untuk sehari ini. Wah.. penat sungguh masa ni. Hendak tidur, bimbang terlepas subuh pula.. :p

eh aku rase jeles, sian dan bangga dalam mase yg same..camne tu?
ReplyDeletehuhuhu.. bab kesian tu aku paham. bab jeles, aku x dapek nak nolong. Nothing to be jealous, except for the experience being in other place. Tapi, perasaannya, ada lebih kurang perasaan menunggu bas yang tak kunjung tiba kat puduraya..
ReplyDelete