Salam.. Telah genap sebulan kami semua berada di India. Hmm.. Nampaknya, sudah genap sebulan juga aku makan malam tanpa mak dah ayah. Sebenarnya, kali ini aku ingin berkongsi sedikit perasaanku setelah sebulan di sini...
Pada awal tempoh kami di sini, aku rasa sungguh gembira. Ditambah pula minggu pertama, hanya dipenuhi kursus kemahiran insaniah yang sememangnya menggembirakan. Kami telah dibahagikan kepada tiga kumpulan, yang mana kumpulanku mendapat seorang jurulatih yang sangat berdedikasi. Kami sungguh gembira di bawah jagaan Nina. Nina seorang yang sangat mahir dalam kemahiran insaniah dan cara ajarannya sungguh menarik. Sedikit sebanyak aku dapat belajar cara pengajarannya, yang mungkin dapat membantu teknik pengajaranku nanti. Thanks a lot, Nina.
Selepas itu, bermulalah kesesakan dalam jadual kami. Kami mula ditimpa dengan pelajaran yang berbentuk teknikal, dan mula dibebani projek. Memang agak sukar bagiku menyesuaikan diri dengan pengaturcaraan setelah lama kutinggalkan. Alhamdulillah, kami berjaya harungi.
Tetapi, apa yang sebenarnya ingin kukongsi adalah perasaanku semasa coretan ini kutulis. Aku sebenarnya terlalu merindui keluargaku. Sebelum ini, setiap malam, kami sekeluarga akan makan malam bersama. Tidak kira, di rumah atau keluar menjamu selera di restoran. Namun, di sini, setiap malam, aku akan makan malam bersama kawan-kawanku. Teringat pula, cuti setiap hujung mingguku, yang selalunya ku habiskan bersama adik-adikku keluar membeli belah, di sini kegiatanku terhad.
Malam ini, aku rasa agak penat. Mungkinkan sebab baru sahaja bermain badminton, yang mana aku bukanlah mahir bermain.. Tapi, aku lebih merasakan penat dari dalam hati dan mindaku. Ditambah pula rindukan keluarga di rumah.. Aku cuma mampu berharap perasaan ini akan kurang, agar aku dapat tempuhi tiga bulan mendatang dengan jayanya..
