Daisypath Anniversary tickers

2 September 2012

Hidup mesti diteruskan...

Isnin lalu, Professor Datuk Dr Marzuki, penyelia pengajian PhDku, telah kembali ke rahmatullah. Pemergian beliau bukanlah satu kejutan, memandangkan beliau telah setahun menderita sakit. Namun, pemergian beliau telah memberi kesan buat hidupku, serta sahabat seperjuangan pengajian, Cik Lin. Beliau merupakan seorang penyelia yang sangat kami hormati dan sayangi. Semasa hayatnya, beliau seorang yang sangat bersemangat menjalankan penyelidikan dan sentiasa memberi inspirasi buat para pelajar. Walaupun, aku pernah mendengar kritikan rakan sekerja, mengatakan beliau sangat tegas dalam menilai hasil penyelidikan, namun bagiku itu adalah satu bonus yang ku terima, kerana ketegasan beliau memaksa aku meneruskan perjuanganku. Disiplin beliau sangat ku kagumi. Kerendahan hati beliau sangat memukau, pangkat dan jawatan tidak menjadikan beliau seorang yang sombong, malah sangat merendah diri. Sebanyak mana ilmu yang diperolehi seorang Professor, tidak menjadikan beliau seorang yang angkuh. Al-fatihah... Semoga Allah tempatkan beliau bersama orang-orang yang beriman...

Selepas kehilangan penyelia, aku banyak merenung memikirkan perjalanan hidupku serta pengajianku. Sambil melayan karenah dua anak kecil yang belum mampu memahami masalah yang dihadapi mama, memang mencabar sekali. Anak-anak sudah mula pandai bermain, bergaduh, memberontak, melawan kata. Aduh, sungguh tercabar kesabaranku. Acapkali, jari-jariku mencubit peha si kakak, kerana terlalu sakan mengusik si adik. Si adik juga, tidak kalah. Suka benar mengusik dan menangis sekuat hati pabila diusik.

Terfikir pula, begini agaknya karenahku dan kakak sewaktu mak dan ayah membesarkan kami. Banyaknya karenah, tapi mak dan ayah tidak pernah mengalah atau berhenti menyayangi anak-anaknya. Ya Allah, banyaknya dosa yang pernah kulakukan terhadap mak dan ayah. Tapi, mak dan ayah tak pernah membenci.Tak pernah juga mengungkit segala karenah kami dahulu. Ya Allah... Tetapi sebagai anak, kita sering terlupa. Tanpa mak dan ayah, siapalah kita? Mak, yang berjaga saban malam, kerana anak yang sering terjaga malam minta disusu. Ayah yang bersengkang mata, kerana risaukan anak yang demam, risau kalau-kalau suhu meninggi. Anak, yang sentiasa meminta, menagih perhatian, bila dah besar, terlupa semua jasa mak dan ayah. Sibuk melayan keluarga sendiri, terlupa akan mak dan ayah yang kini memerlukan kita. Marilah kita sama-sama cium tangan mak, cium tangan ayah, mohon keampunan atas segala dosa, dan teruskanlah berdoa buat mereka.


No comments:

Post a Comment