Daisypath Anniversary tickers

31 August 2006

Kompilasi

Bulan Ogos, aku kurang berkesempatan menulis di sini. Beberapa peristiwa berlaku dalam bulan kemerdekaan ini. BIZIT'06, perkahwinan penyanyi terkemuka, IFTDO. Namun perkahwinan Siti sebenarnya tidaklah begitu memberi kesan kepada hidupku.

Kali ini tulisanku lebih kepada kompilasi beberapa peristiwa. Biar kumulakan dengan BIZIT'06. Setelah bekerja keras selama lebih kurang setahun (bagi rakan2 sekerjaku), berakhir juga Konferen Antarabangsa BIZIT'06 yang telah kami jalankan di Crown Princess Kuala Lumpur. Memanglah, sebagai salah seorang sekretariat konferen sebesar itu, lelahnya tidak terkata. Namun, alhamdulillah pencapaiannya agak memberangsangkan. Angka kedatangan peserta dan para pembentang kertas kerja mencapai jangkaan. Ucapan jutaan kasih harus dikalungkan kepada para ahli jawatankuasa yang bersusah payah.
Konferen tiga hari, menjadi satu kenangan dalam dunia kerjayaku. Suasana sepanjang konferen, walaupun masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing, namun kegiatan dijalankan dalam keadaan ceria. Cuma, mungkin aku yang kurang ceria kerana diserang demam sejak hari pertama di sana.

Selepas BIZIT berakhir, sempat aku mengambil cuti sehari, dan berehat sepuasnya di rumah. Ingin juga pergi melancong ke mana-mana, namun bajetnya pula yang tiada. Akhirnya, aku cuma duduk di rumah, sambil membantu ayah menyiapkan kerja-kerja membina kolam ikannya.

Ingin kukongsi bersama serba sedikit gambar yang telah diambil oleh beberapa rakan sekerja, namun tiada satu pun gambar yang ada dalam simpananku. :)

Selain BIZIT'06, cuti sekolah pula telah bermula. Seperti biasa, cuti sekolah adalah sinonim dengan kenduri kahwin. Aku juga tak terlepas memenuhi undangan seorang lagi sahabat. Ireen Munira sudah pun mendirikan rumah tangga dengan Farid. Mereka telah lama kukenali sejak sama-sama belajar di UiTM dulu. Tahniah, dan semoga bahagia hingga akhir hayat.. :)

Di samping aktiviti yang telah keceritakan, aku juga telah dilantik menjadi ahli jawatankuasa pameran bagi PostGraduate Education Exhibition yang telah diadakan sempena Konferen IFTDO. Konferen yang berlangsung di KLCC itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, dan menyaksikan mantan Perdana Menteri menyampaikan ucaptama. Walaubagaimanapun, aku tidak berkesempatan menyaksikan kedua agenda tersebut berlangsung. Kerana aku mengambil kesempatan membawa adikku ke KLCC sementara waktu rehatku.

Satu lagi, hari ini, hari ulangtahun kemerdekaan Malaysia. Pagi ini, aku telah menyaksikan siaran langsung perarakan kemerdekaan yang berlaku setiap tahun. Cuma bezanya kali ini ia diadakan di Bandaraya Kuching, Sarawak. Selepas itu aku tertukar siaran ke rancangan ChitChat Azwan Ali, yang disiarkan sempena Merdeka. Naik jelak aku melihat gelagat artis-artis Melayu (kebanyakannya remaja) yang kononnya mengatakan kita bebas dari penjajahan, merdeka, aman dan segalanya. Aku tiada masalah dengan mereka yang hendak menjadi artis (walaupun aku berpendapat mereka lebih baik tidak memillih jalan itu), cuma yang ironinya dalam rancangan itu, 2-3 gadis remaja menerangkan erti merdeka (seperti yang kunyatakan tadi), dengan pakaian yang tidak sesuai. bebaskah kita dari penjajahan, apabila anak gadis cuma memakai tube dan seluar ketat paras lutut? Bukan ke itu juga satu bentuk penjajahan? Identiti kita sudah dijajah juga, kan?

Ada lagi beberapa perkara yang telah ku lakukan bulan ini. Namun, aku malas hendak menceritakan kesemuanya. :) Lain kali sahaja. Hingga lain kali, aku ingin berkongsi beberapa foto bersama sesiapa yang sudi. :)

No comments:

Post a Comment