Daisypath Anniversary tickers

10 July 2006

Tulisan, fikiran dan peribadi..

Hari Isnin, seperti biasa.. Aku bagaikan sudah dipengaruhi prinsip si kucing gemuk Garfield. Liat sungguh nak memulakan minggu dengan pagi Isnin.

Pagi ini, dalam kesibukan, sempat aku membaca blog seorang sahabat lama. Aku berbangga menjadi temannya, walaupun jarang bertegur sapa semasa zaman sekolah dulu. Semasa sekolah dulu, temanku ini dikenali dengan bahasa inggerisnya yang tersusun cantik dan indah. Ketika membaca blognya, aku tersenyum. Keindahan bahasanya masih dikekalkan.

Terbayang pula laman lain yang kubaca. Bahasa kurang indah, tapi cantik maksud ayatnya. Tidak kurang juga yang mempunyai kelebihan berbahasa, tapi kurang nilai sopan santunnya. Terfikir pula olehku, tujuanku menulis di laman seperti ini. Minggu lepas, seorang sahabat mengajukan alamat blog untuk kulawati. Aku tersenyum, membacanya. Memang benar, tiada sebab untuknya memulakan blognya, mungkin sekadar ikut-ikutan.. Aku juga begitu pada asalnya. Tapi kini, aku rasakan ia suatu platform yang baik untuk digunakan sekadar berkongsi pandangan, menyampaikan perasaan buat seseorang, dan juga cuma sebagai tempat beristirehat.

Sahabatku yang seorang ini, gemar berbahasa. Kadangkala, aku menerima mesej darinya dalam bahasa yang aku sendiri tidak fahami. Masakan dapat kufahami, jika ditulis dalam Bahasa Perancis. Terpaksa pula aku mencari penterjemah elektronik di internet. :) Aku jadi tertarik untuk mengetahui maksudnya, kerana bahasa itu memang suatu yang indah. Kalau tidak, masakan ada pepatah.. "Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa".

Wah, nak menjadi pakar bahasa pula gamaknya. Teringat pula pada peristiwa petang semalam. Sepupuku melawat rumahku dengan anaknya. Si kecil menjerit kepada kakaknya "Bodoh!" Ibunya dengan selamba, mengajar.. "Adik, jangan sebut bodoh.. Cuba sebut perkataan lain. Sengal ke.." Dia mengajar anak kecil itu tidak memanggil kakaknya bodoh (bagus lah, supaya anak itu lebih bersopan), tapi, disuruh pula anak kecil itu memanggil kakaknya 'sengal'. Aku terkesima seketika mendengarnya. Bukankah keduanya perkataan yang tidak baik? Bukan sahaja perkataan yang tidak baik, malah memanggil seseorang dengan nama yang tidak elok maksudnya, bukanlah sesuatu yang baik. Pernah seorang ustazah menegur kami ketika zaman sekolah dulu, jangan digelar orang dengan nama yang tidak disukainya, berdosa hukumnya. Bukanlah aku hendak menilai dari sudut hukum, namun kesimpulannya, usahlah diamalkan keadaan itu.

Berbalik kepada tujuan menulis di blog, terlintas di fikiranku, mungkinkah blog ini digunakan bertujuan untuk peperangan secara fizikal? Atau bertujuan ke arah kemusnahan nilai dalam diri seseorang? Mungkin juga ada kebarangkaliannya. Seperti yang kunyatakan, blog mungkin bertujuan menjadi tempat meluahkan perasaan. Namun, sekiranya ditulis diiringi dengan emosi, tulisan itu mampu menjadi senjata yang menikam diri pemilik pena (dalam kes seperti ini, papan kekunci lebih tepat). Maklumlah, perasaan sering ditemani emosi. Mungkin tujuan hendak menjernihkan keadaan, malah bertambah keruh jadinya.

Akhirnya, aku sendiri tidak dapat putuskan di mana garis halus yang memisahkan baikkah atau tidak menulis blog seperti ini. Apa yang dapat kusimpulkan, setiap tulisan menggambarkan peribadi seseorang. Secara langsung atau tidak langsung, ia menggambarkan keperibadian si penulis. Bukanlah menghakimi seseorang berdasarkan luaran, tetapi setiap tulisan yang mencoretkan isi hati mampu melukiskan gambarannya. Walau bagaimana kita berhati-hati, itu lah diri kita yang sebenar..

No comments:

Post a Comment