Assalamualaikum.. Nampaknya hari ini, fakulti sudah mula lengang. Mesyuarat fakulti pagi ini, agak meriah, walaupun aku cuma menghadirinya separuh jalan. Aku terpaksa menjaga peperiksaan akhir awal pagi ini. Separuh jalan peperiksaan, aku meminta kebenaran ketua pengawas peperiksaan untuk keluar. Aku harus hadir ke mesyuarat fakulti, memandangkan aku sudah diberitahu, akan diadakan sesi pengenalan pensyarah baru dalam mesyuarat nanti.
Bergegas aku masuk ke dewan kuliah, dan mengambil tempat di antara ramai pensyarah yang memenuhi dewan. Baru sekejap aku duduk, tiba-tiba namaku dipanggil untuk mengenalkan diri. Mujur juga aku sempat masuk, jika tidak, tentu menjadi perhatian sekiranya aku tiada sewaktu nama dipanggil. Aku yang di dalam keadaan tidak bersedia, cuma memberitahu sedikit maklumat ringkas tentang diriku, dan memberi laluan kepada sahabat-sahabat lain memperkenalkan diri.
Setelah selesai sesi pengenalan pensyarah, aku bergegas keluar semula untuk mengutip kertas peperiksaan di dewan peperiksaan. Nampaknya, pelajar-pelajarku dapat menjawab soalan dengan baik. Walaupun ada beberapa pelajar yang memang tidak mengulangkaji. Setelah selesai semua, aku kembali menghadiri mesyuarat. Kemeriahan di fakulti mula kurang setelah mesyuarat bersurai. Masing-masing sibuk bersalaman, mengucap selamat hari raya. Akhirnya, baru ku rasakan lengangnya fakulti ini.
Bila keadaan mula lengang, aku mula malas hendak membuat kerja. Nampaknya mood raya sudah mempengaruhi ku. Mujur hari ini aku masuk kerja awal, boleh la aku pulang awal.. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang sudi membaca.. Ampun dan maaf kalau ada tersalah dan silap. :)

No comments:
Post a Comment