Daisypath Anniversary tickers

19 January 2012

Love you...

Terbaca satu kata-kata di dalam email:
» Bila mak kata dia teringat, kita jawab kita sibuk sangat.
» Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu.
» Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang.
» Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum selesai.
» Bila hati kita terguris, kita kata “Mak memang tak pernah faham”.
» Bila hati kita terhiris, kita kata “Ayah memang tak ambil kisah”.

Tetapi

» Bila hati mak kita terguris, mak kata “Tak apa, dia masih muda”.
» Bila hati ayah kita terhiris, ayah kata “Tak apa, belum sampai akalnya”.
» Bila kita menangis tanda lapar, mak berlari bagai hilang kaki.
» Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena.
» Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal.
» Bila kita pilu kerana kecewa, ayah teguh berkata dia tetap bangga.
Fikir2lah
Aku antara ribuan orang yang sebak membaca kata-kata ini. Akhir-akhir ini aku sangat sensitif dengan segala apa yang berlaku di sekelilingku. Malah menonton drama di televisyen juga mampu membuatku emosi. Sememangnya benar apa yang tertulis itu..

Sebelum ini, memang pernah mak menyuarakan rindu, aku jawab "Adik sibuk la, mak... Hujung minggu adik balik, ye?". Ayah juga pernah minta aku pulang, dan aku pernah menjawab, "Kerja belum selesai lagi.. Nanti dah free, adik balik ye..". Tapi, mak dan ayah tetap dengan kasih sayang, menyambut kepulanganku. Terharu...

Memang benar, pernah juga aku berkecil hati dengan ayah, terusik rasa dengan mak. Ketika dalam pengaruh perasaan amarah, memang hati suka membentak, "mak tak faham!, ayah bukannya peduli!". Kadangkala, ku rasa, ayah salah, mak juga silap. Tapi, setelah bertenang, kufikirkan semula. Mak dan ayah pun manusia biasa, tentu ada salah dan silapnya. Aku juga begitu. Jadi, layakkah aku menghukum mereka? Aku cuma anak, yang mungkin tiada lahir ke dunia tanpa mereka. Maaf, mak.. Ampun, ayah.. Aku pernah berdosa. Astaghfirullah...

Sekarang aku lebih mengerti, bagaimana perasaan seorang ibu. Tidur malam tak pernah lena, kerana melayan tangis anak kecil. Mandi pun kadangkala tak basah, mengenangkan anak ditinggalkan sendirian di atas katil. Sentiasa risau keadaan anak, sihatkah dia? Gembirakah dia? Bila anak demam, hati tiada senangnya. Gundah gulana, setiap kali mendengar anak batuk di dalam tidurnya.

Anak daraku sudah mula petah berkata-kata, sudah pandai meniru semua perkara. Kadangkala, memang ada perangai tidak baik yang ditirunya. Mama dan daddy pun kena ketuk kepala, dijerit dan disepak selamba.. Tapi, memang naluri seorang ibu dan bapa, "tak apa.. masih kecil lagi. belum sampai akalnya...". Dan, rasanya sampai bila-bila, ibu bapa akan anggap anak mereka, masih kecil, masih bayi. Sebab kasih mereka akan tetap sama..

Mak, ayah.. Kalau pernah anak ini menyakiti hatimu, terguris perasaanmu, terhiris dek perbuatan dan perkataanku, ampunkanlah.. Kuharap aku tak akan menyakiti, mengguris atau menghiris lagi. Aku berdoa agar menjadi anak yang tidak lupa diri.


Marilah kita sama-sama amalkan doa ini, semoga mak dan ayah kita sentiasa dipelihara oleh-Nya.. Mak, Ayah, ku sayangkan mu...

No comments:

Post a Comment