Daisypath Anniversary tickers

13 January 2006

Senyumlah, sinari dunia dengan kecerahan senyummu..


Hari ini hari Jumaat. Satu lagi penghujung minggu bagi hari-hari bekerja ku. Mood hari ini, lebih baik dari biasa, kerana setelah 9 hari menyambut ulangtahun kelahiranku, hari ini, hadiah terbesar dalam hidupku akan ku terima. Walaupun hadiah ini bukan pemberian sesiapa (malah ku beli sendiri sebenarnya.. ), namun ia memberi makna yang besar dalam hidupku.
 
Kehidupan sebagai seorang pensyarah bermula sekali lagi, apabila semester yang baru dimulakan. Bila bercakap tentang perkara ini, aku selalu akan mula menilai kredibiliti ku untuk tanggungjawabku. Mungkin ada di kalangan rakan sekerja yang menganggap aku terlalu muda untuk menyandang tugas ini. Ditambah pula pelajar-pelajar ku sebaya dengan ku. Memang tidak kunyatakan usiaku kepada pelajar-pelajarku. Bimbang nanti hilang kekok pula sewaktu di dalam kelas. Bak kata adikku, 'You have to act older than your age..'. Mungkin betul kata-kata itu. :)
 
Tahun yang baru menjelma juga membawa beberapa impian baru bagiku. Impian baru ku, ingin menyambung pengajianku ke peringkat yang ebih tinggi. Aku juga ingin memajukan perniagaan Ilhamekar supaya akhirnya aku hendak membuka butik pengantin yang tersohor. Wah, nampaknya cita-citaku kali ini lebih besar. Dengan berkat doa ibu bapaku, InsyaAllah, akan kucapai cita-citaku. Diharap kawan-kawan juga sudi mendoakan kejayaanku.
 
Pagi ini, aku sempat menonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), dan aku tertarik dengan perbincangan mengenai bahasa melayu baku, serta loghat negeri yang terlalu menguasai minda rakyat Malaysia. Bila dibincangkan, mereka seolah-olah melihat perkara ini sebagai suatu masalah pula. Aku memandangnya sebagai suatu fenomena, yang mana semua manusia ingin berasa dipunyai. Maksudku, setiap manusia ingin dipunyai oleh tempat asal kelahirannya. Jika sudah dibesarkan di Kelantan (hanya sebagai misalan), tentu sedikit sebanyak slang Kelantan aku mempengaruhi bahasa melayu, malah bahasa Inggeris seseorang itu. Ia bukan lah suatu masalah, kerana sememangnya kita sedia maklum, setiap manusia ada jati diri masing-masing. Sudah tentu sedikit sebanyak, cara pertuturan melambangkan diri mereka. Jika kita mampu berbahasa inggeris seperti seorang rakyat United Kingdom, memang hebat. Tapi, dengan sedikit adunan slang Kelantan, orang akan dapat membezakan asal-usul seseorang.  Asalkan ia tidak mengubah struktur asal Bahas Inggeris yang ingin dituturkan (sudah tentu supaya pendengar memahami apa yang hendak disampaikan). Bukankah lebih hebat begitu? Tanpa perlu berterus terang, kita telah pun berjaya menyampaikan maklumat tambahan tersebut.. Namun, ini cuma pandanganku sahaja. :)
 

No comments:

Post a Comment