Sudah hampir sebulan aku tidak menulis di sini.. Malas? Tiada masa? Terlalu sibuk? Sebenarnya, aku tidaklah terlalu sibuk, tetapi, masa tidak mengizinkan. Minggu pertama, aku sibuk memeriksa kertas peperiksaan. Belum pun selesai, aku ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Mengikut rancangan awalku, aku hendak ke Pulau Pinang, untuk menghadiri kenduri kahwin 2 sahabatku semasa di USM. Namun, di saat akhir, tujuanku bertukar kerana mendapat arahan untuk bekerja. Maaflah, Ayien dan Mai, kerana tidak dapat menghadiri majlis gilang gemilang kalian. Namun sempat juga aku menghubungi Ayin pada hari perkahwinannya.
Kehadiranku di Pulau Pinang, dipersoal oleh sahabat yg lain, bertanyakan mengapa aku tidak menjenguk ke USM.. Eros, maaf ye.. Kalau ada kesempatan, memang aku singgah.. Tapi, malangnya, perjalanan kami ke sana sudah diatur untuk bekerja. Mungkin lain kali, akan ada peluang kita bersua kembali. Pada hari yang sama juga, teman serumah sewaktu belajar dahulu melangsungkan pertunangan di Parit Buntar. Kak Pah, tahniah ya.. InsyaAllah akan ku hadiri majlis perkahwinan Kak Pah nanti.. Tak sabar nak melihat wajah lelaki yang berjaya menawan hati kakakku yang seorang ini.. :)
Selepas ke Pulau Pinang, aku kembali ke pejabat untuk menyambung tugas menyelesaikan urusan kemasukan markah pelajar-pelajarku. Ada juga yang gagal.. Kekadang, aku tertanya-tanya, adakah kesilapanku menyebabkan mereka gagal? Adakah aku telah menyampaikan maklumat yang salah? Tetapi, setelah kuperiksa, ada antara pelajar-pelajarku yang berjaya menjawab dengan baik.. Jadi, di manakah silapnya? Seminggu aku asyik memikirkan sebabnya. Mungkinkah aku terlalu berlembut dengan mereka? Cara didikankukah yang salah? Pelbagai soalan, yang harus ku jawab sendiri. Aku bertambah bersemangat nak membaiki cara pengajaranku. Buat bakal pelajar-pelajarku, bersedialah. Tiada lagi Cik Zaida yang lemah lembut semester hadapan.. :p
Hari Isnin, baru-baru ini, merupakan hari cuti sempena ulangtahun Keputeraan Sultan Selangor. Aku mengambil kesempatan bercuti pada hari Selasa. Tujuan asalku adalah untuk menyelesaikan memindahkan barang-barang dari bilik tidur lamaku ke bilik baru. Ayah telah membina dua bilik tambahan di belakang rumah buat aku dan adikku. Mungkin Ayah mula terasa sempit memandangkan adik beradik ku yang sudah besar panjang.. :) Namun, tujuan ku bercuti tidak mencapai objektifnya. Ini semua gara-gara sepupuku (yang juga bertindak sebagai kontraktor membina bilikku) melengah-lengahkan kerjanya. Hingga hari ini, kerja-kerja itu belum selesai. Sia-sia cutiku..
Semalam, aku mengikut rombongan dari HEA ke UKM untuk lawatan akademik. Di dalam sesi taklimat oleh TNCA UKM, aku mendapat panggilan telefon berkaitan dengan permohonan pinjaman kenderaanku. Menurutnya, status jawatanku di dalam sistem masih lagi 'sementara'. Sedangkan, aku sudahpun menerima surat lantikan ke jawatan tetap. Aku jadi geram kerana, masalah sistem yang tidak berpusat ini, membuatkan masalah kecil begini berlaku. Permohonan ku tidak dapat diproses hanya kerana status jawatanku. :(
Hari ini, kami akan mengadakan jamuan kecil meraikan sahabat sekerja yang akan berpindah ke cawangan Perlis. Semoga kehidupanmu di sana lebih disinari cahaya kegemilangan.. :)

No comments:
Post a Comment